Aduhai wanita... Sungguh mahal dirimu di mata lelaki,
tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di
mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika
kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.
Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.
Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang
kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis
dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga
hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada
bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian
yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima
saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan
mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing
yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah
dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau
tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai,
agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau
biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau
kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu
yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin
bisa kau kendong.
Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan
sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu
bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang
Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi
kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa
yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa
menantimu.
Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika
dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada
Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau
sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai
tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung
daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya
perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat
pun kau lupa setianya Masyitah pada
Tuhannya, agungnya kasihKhadijah kepada
agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.
Jadikan agamamu sebagai tunjang yang
memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan
lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.
No comments:
Post a Comment